KAMI MEMBANTU ANDA SIHAT,

ENGLISH| MELAYU | A | A style blue style brown style purple style black

‘ HARI INI DALAM SEJARAH ’

PENDAHULUAN

Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru merupakan sebuah institusi perubatan yang awal dan moden yang wujud di Negeri Johor. Ia juga merupakan salah sebuah institusi sosial yang terpenting dalam memberikan perkhidmatan kesihatan dan rawatan terhadap masyarakat. Kesan dari keadaan kesihatan masyarakat yang semakin meruncing serta perkembangan bandar Johor Bahru, sebuah hospital yang moden telah dibina pada 1938.

Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru terletak di kawasan berbukit dan mengadap ke Selat Tebrau. Keluasan kawasan hospital ini adalah 98.6 ekar. Pada peringkat awal ia dikenali sebagai General Hospital Johor Bahru.

Kedudukan hospital ini adalah sejauh dua kilometer dari bandar Johor Bahru. Terletak di Jalan Skudai dan berhampiran Selat Tebrau dan berhadapan dengan Singapura.

SEJARAH PEMBINAAN AWAL HOSPITAL JOHOR BAHRU

Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru telah menggantikan hospital yang terawal dibina di Daerah Johor Bahru pada tahun 1882. Ini kerana hospital yang pertama di Johor Bahru telah dibina dalam tahun 1882. Hospital ini telah didirikan dikaki sebuah bukit berhampiran dengan asrama jururawat yang ada pada masa ini.

Pada peringkat awal, hospital ini hanya mengandungi sebuah wad sahaja. Pembinaan bangunan hospital yang awal ini adalah daripada batu bata dan kayu, besar, lapang serta mempunyai siling yang tinggi. Ia juga mempunyai tingkap yang lebar bagi menghasilkan peredaran udara yang bersih dan lebih baik. Keadaan ini kekal sehingga terbinanya hospital yang lebih baik pada tahun 1929.

Pada tahun 1929, sebuah wad untuk pegawai-pegawai dinamakan "Officers Wad" dibina di atas Bukit Sah. Mempunyai 22 bilik dan dikhaskan untuk pegawai-pegawai bangsa Eropah dan Pengurus-Pengurus Ladang (Estate Managers). Sebuah asrama untuk "Sisters" juga dibina dengan panggilan "Sisters Mess". Bangunan ini menghadap Selat Tebrau dan masih digunakan untuk tujuan asalnya sehingga ke hari ini.

Bagi Wad Kelas 2, ianya dibina tahun 1938 dan mula digunakan pada tahun 1939. Mengandungi 2 buah bangunan 2 tingkat berhampiran dengan bangunan asrama jururawat. Sebuah bangunan untuk pesakit kelas 2 lelaki dan sebuah lagi untuk pesakit kelas 2 perempuan.

Pada masa ini, bangunan tersebut tidak lagi digunakan untuk pesakit kelas 2.  Sebuah lagi digunakan sebagai dapur hospital sementara menunggu siapnya sebuah bangunan dapur baru yang lengkap dibina. Sebelum ini, bangunan itu digunakan sebagai Pejabat Kesihatan selama beberapa tahun sehingga pejabat tersebut berpindah ke pejabat yang baru di Jalan Abdul Samad pada tahun 1975. Sebuah lagi bangunan telah digunakan sebagai Wad TB Perempuan di tingkat atas semenjak tahun 1972 sehingga ke hari ini. Di tingkat bawah pula dikhaskan untuk penyakit-penyakit berjangkit jika berlaku  wabak penyakit.

PERTAMBAHAN KEMUDAHAN

Kawasan hutan disepanjang Jalan Skudai telah dibersihkan, ditambak dan dimajukan dengan tujuan pembinaan landasan keretapi tetapi dibatalkan pada tahun 1879 dan dibangunkan dengan terdirinya rumah kediaman kakitangan hospital serta sebuah bengkel Jabatan Kerja Raya.

Pada tahun 1911, sebuah wad pembedahan, pejabat pentadbiran dispensary dan sebuah bilik bedah telah dibina dan dipertingkatkan lagi dengan pembinaan dari sebuah wad kepada tujuh buah wad, bilik pembedahan, wad pengasingan, wad kurungan untuk banduan, sebuah dispensary, makmal, bilik mayat dan dapur pada tahun 1919 dengan tujuan meningkatkan lagi perkhidmatan di hospital. Dengan penambahan pembangunan ini, jumlah pesakit yang dapat ditampung oleh wad tersebut adalah seramai 400 orang ( jumlah katil rasmi ).

Pada tahun 1914 sehingga 1929, sebuah khemah khas dipanggil ’Leper Segregation Camp’ telah dibuka di Batu Tiga Jalan Skudai khusus untuk mengasingkan pesakit yang dihadapi oleh masyarakat terutama penyakit kusta yang semakin meruncing dan menggantikan khemah tersebut. Pesakit yang ditempatkan adalah pesakit kusta lelaki. Pesakit perempuan ditempatkan di ’Leper Asylum’ di Singapura. Pada tahun 1937, sebuah lagi hospital kusta yang lebih baik dibina di kawasan yang sama dengan kemampuan untuk menampung pesakit lelaki dan perempuan. Jumlah pesakit yang dirawat dipenempatan baru ini adalah seramai 278 orang lelaki dan 69 orang pesakit perempuan. Semenjak tahun 1882, wad kelas tiga yang diperbuat daripada papan adalah terlalu uzur, usang dan tidak mengizinkan untuk menampung bilangan pesakit yang bertambah. Keadaan pesakit yang tinggal di wad juga tidak begitu memuaskan dan semakin sesak.Pada tahun 1938, terbinalah sebuah bangunan hospital yang baru di Daerah Johor Bahru. Bangunan yang menempatkan pejabat kerajaan seperti Jabatan Bendahari, Mahkamah, Polis, Penjara, Ukur, Laut, Perubatan dan Keretapi telah terletak di Bukit Zahrah Johor Bahru. Bangunan tersebut berhampiran dengan Istana Besar. Bangunan berkenaan telah diperbaiki untuk dijadikan hospital. Bangunan ini boleh memuatkan sebanyak 250 buah katil dinamakan "Civil Hospital". Rekabentuk bangunan ini telah dibuat oleh syarikat arkitek "Palmer and Turner" yang mempunyai pejabat di Johor Bahru. Idea rekabentuk hospital ini diperolehi daripada sebuah hospital di Nanking, China, semasa satu rombongan perubatan yang diketuai oleh Dr G.H. Garlick menghadiri mesyuarat "Far Eastern Association of Tropic al Medicine" pada tahun 1934. Hospital tersebut adalah Nanking Central Hospital. Susunan bahagian dalam (Interior Arrangement) adalah kombinasi pengalaman tempatan dan kajian dari hospital-hospital diseluruh dunia yang dikandung dalam Journal "Nosokomeion". 

 

Bangunan setinggi 5 tingkat ini telah memuatkan 857 buah katil. Ia mempunyai dua sayap (wing) berbentuk "T" mengandungi 80 buah katil dalam tiap-tiap wad. Di bahagian tengah terdapat lif serta dapur untuk pesakit-pesakit. Bilik pembedahan pula ditempatkan di tingkat satu sementara tingkat yang teratas dikhaskan untuk pesakit-pesakit TB. Jumlah perbelanjaan membina bangunan baru ini dianggarkan sebanyak RM 1,275,000. Junlah ini berdasarkan kos untuk kerja-kerja menanam cerucuk  dan pembelian besar peralatan pembinaan, tetapi setelah siap pada tahun 1941, kosnya telah meningkat kepada RM2,057,075.00. 

 

Pembukaan rasmi bangunan ini telah dijadualkan pada 29hb. Mei 1941 oleh DYMM Sultan Ibrahim. Semua persiapan telah diatur tetapi perasmian ini telah dibatalkan pada saat-saat akhir.  Bangunan ini dikenali dengan bangunan induk pada masa ini. Pada tahun 1938, wad bersalin kelas satu dan berek untuk kakitangan rendah juga telah dibina. Bangunan wad ini letaknya di belakang wad pegawai, menghala ke Selat Tebrau. Rekabentuk kedua-dua bangunan ini juga dibuat oleh syarikat yang sama iaitu ’Palmer and Turner’. Ianya siap dibina pada tahun 1941. Apa yang jelas, bangunan wad bersalin tidak dapat digunakan sebagai tujuan asalnya. Ini kerana pada zaman pendudukan Jepun bangunan ini telah dijadikan tempat tinggal tentera dan doktor. Selepas pendudukan Jepun, pihak Inggeris menjadikan bangunan ini sebagai tempat tinggal doktor apabila pentadbiran hospital ini diambil alih oleh ’Pihak Awam’ pada tahun 1947. Ianya digunakan sehingga tahun 1969. Bangunan yang ditinggalkan ini telah menjadi Pejabat Penguasa Perubatan Hospital. Bangunan mess baru telah didirikan pada tahun 1969. Ianya mempunyai 10 buah bilik. Dua buah bangunan lagi dibina dalam tahun 1972 berhampiran dengan  bangunan tersebut. Bangunan-bangunan ini mempunyai 12 buah bilik setiap satu. Walaubagaimanapun pada masa ini ketiga-tiga bangunan ini didapati tidak mencukupi bagi menempatkan semua Pegawai Perubatan Siswazah yang dilatih di hospital ini. Jumlah bilik yang ada ialah 34 buah sementara Pegawai Perubatan Siswazah yang dilatih di hospital ini ialah seramai 54 orang.Bangunan ini telah ditinggalkan kosong buat beberapa lama apabila ’Mess Doktor’ dipindahkan ke bangunan baru yang terletak di Jalan Abdul Samad. Bagi memenuhi kekosongan tersebut, ia telah dijadikan Pejabat Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan Negeri Johor. Ini disebabkan bangunan pentadbiran di Johor Bahru begitu usang untuk digunakan. Sehingga bangunan Wisma Persekutuan siap dibina dan berpindah pada tahun 1979.

 

ORGANISASI PENTADBIRAN HOSPITAL - DIKENALI GENERAL HOSPITAL JOHOR BAHRU

General Hospital Johor Bahru merupakan hospital di Negeri Johor yang mempunyai satu sistem pentadbiran yang dikatakan lengkap. Setelah tentera Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, tentera British telah mengambil alih pentadbiran hospital ini ( BMA Period ). Surgeon Commander E.W. Laidlaw telah ditugaskan sebagai P.M.O. Pada masa itu kebanyakkan pesakit terdiri dari anggota tentera yang tercedera. Setelah beberapa bulan kemudian, Hospital Awam diadakan semula di hospital ini. Sebagai permulaan, wad perubatan lelaki dan wad umum perempuan mengambil tempat di Timur 3 dan Barat 3. Hospital ini diketuai oleh Principal Medical Officer ( P.M.O ) yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran dan rawatan pesakit. P.M.O yang pertama ialah Dr. James Patrick Andrew Wilson yang berkhidmat mulai tahun 1905 hingga 1920. Timbalannya Dr J. C. P. Grey. Kakitangan awam mengambil alih pentadbiran hospital ini pada 1hb. April, 1946. Pada ketika itu, pentadbiran hospital telah dibantu oleh Assistant P.M.O, Pembantu Pegawai Perubatan (Assistant Medical Officer), Pembantu Pembedahan (Assistant Surgeon), Bidan (Maternity Nurse), Pembantu Perubatan (Dresser), Pembancuh Ubat (Dispenser), Pegawai Kematian (Death Inspector) Kerani Yang Mendaftar Kematian (Death Registration Cleark) dan beberapa orang Kerani Am.Pada tahun 1947, perubahan dari segi struktur pentadbiran telah dilakukan. Pegawai yang mengetahui pentadbiran hospital adalah Penguasa Perubatan. Penguasa Perubatan General Hospital Johor Bahru yang pertama adalah Dr. E.C.Vardy. Beliau juga menjalankan tugas sebagai seorang Pakar Perunding Perubatan Dada. Keadaan ini berlanjutan sehinggalah bulan September, 1947 bila mana Kumpulan Dresser Pelatih yang pertama selepas perang lulus dan mula menjalankan tugas. Jumlah pesakit yang dirawat disepanjang tahun 1947 ialah seramai 9,069 orang. Di Johor Bahru pada masa itu terdapat dua buah Klinik Swasta.  

Di wad perempuan pula jururawat pelatih, kakitangan rendah juga ada di semua wad tetapi bilangannya terlalu kecil, iaitu 3 orang bertugas pagi, 2 di waktu petang dan seorang bertugas malam, Kakitangan rendah ini adalah di bawah penyeliaan "Steward". Mereka ini terdiri daripada Atendan Wad, Atendan Makmal,  Atendan Rumah Mayat, Atendan Kesihatan dan Tukang Kebun.  

Pada masa itu, hanya seorang Pegawai Perubatan bertugas malam bagi seluruh hospital. Semua kes kecemasan dan kes-kes polis diperiksa oleh beliau. Pegawai ini juga dipanggil untuk membantu Pakar Bedah jika terdapat kes-kes yang memerlukan pembedahan serta-merta pada waktu malam. Kes-kes yang terdapat pada masa itu ialah luka terkena tembakan. Ahli kimia ubat boleh dikatakan tidak ada dan "Senior Dresser" ditugaskan menyelia Dispensari. Ubat pil jarang digunakan dan kebanyakan ubat-ubat yang digunakan berbentuk "powder" dan "Mixtures". Makmal dan Jabatan X-Ray juga dikendalikan oleh Dresser sehingalah kakitangan yang mencukupi dilatih untuk mengambil alih tugas di jabatan-jabatan tersebut.

 

Pakar Bedah dalam tahun 1947 ialah Mr. L. E. Vine dan bersara atas sebab-sebab kesihatan. Mr. H. M. Gladdery mengambil alih tempat beliau dan akibat dari rusuhan "Maria Hertogh" dalam tahun 1950 mengalami kecederaan. Mr. Yeoh Bon Choon (sekarang Dato') dilantik menggantikan beliau pada 08 Jan 1951 dan bersara pada tahun 1969 dan menyambung semula perkhidmatan beliau sehingga 01 Mac 1971 . Dato' Yeoh Bon Choon merupakan Pakar Bedah pertama dari keturunan Asia di Negeri Johor dan juga Malaya ketika itu. 

 

PERPINDAHAN PESAKIT TIBI

Pada tahun 1950 - pesakit TB telah dipindahkan dari Hospital Besar ke Pusat TB Santarium di Tampoi. Dalam tahun 1955, beberapa buah bangunan baru telah dibina sebagai bangunan tambahan kepada bangunan sediada dan dirasmikan oleh Lady Marcella Ibrahim pada 25 November 1955. Pada tahun 1960'an. perkembangan struktur hospital agak lembab dan hanya tertumpu di bahagian latihan. Hanya pada tahun 1972, sebuah klinik dada & wad dibina untuk menempatkan 60 buah katil. Bangunan ini dirasmikan oleh YB. Tan Sri Lee Siok Yew - Menteri Kesihatan pada 28 September 1972. 

 

PEJABAT PENGARAH PERUBATAN DAN KESIHATAN NEGERI JOHOR

Bangunan wad bersalin yang di kosongkan telah digunakan sebagai Pejabat Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan Negeri Johor kerana bangunan "Central Medical Administration Bureau" yang digunakan terlalu buruk dan hampir roboh. Bangunan ini kemudiannya telah digunakan sebagai Pejabat Penguasa Perubatan dan Pejabat Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan berpindah ke pejabat baru di Wisma Persekutuan pada tahun 1979 .Pada tahun 1921, sebuah bangunan khusus bagi menempatkan pusat pentadbiran kesihatan telah dibina. Ia terletak di Jalan Ayer Molek dan dinamakan “Central Administration Medical Bureau”. Bangunan tersebut juga menempatkan pusat rawatan bagi mengendalikan kes pesakit luar. Tahun 1935, bangunan berkenaan diperbesarkan dan ditempatkan pejabat pentadbiran, pejabat kesihatan, pejabat pendaftaran beranak dan mati serta stor perubatan.

 

PERKHIDMATAN YANG DIBERIKAN

Perkhidmatan yang diberikan di General Hospital Johor Bahru pada peringkat awal adalah Perubatan Am, Perbidanan ( Obstetric ) dan Rawatan Pesakit Luar. Rawatan yang diberikan adalah terdiri dari penyakit-penyakit lain seperti Radang Paru-Paru ( Pneumonia ), System Pernafasan ( Respiratory Diseases ), Beri-Beri, Malaria, Buang Air Berdarah ( Dysentery ), Batu Kering ( Tuberculosis ), Ceret Beret ( Diarrhea ), Demam Selsema ( Influenza ) Lumpuh ( Dibility ) dan sebagainya.   

 

SELEPAS MERDEKA -DIKENALI SEBAGAI RUMAH SAKIT UMUM, JOHOR BAHRU

Selepas negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, pihak pentadbiran hospital telah bersetuju menukar nama hospital sebagai Rumah Sakit Umum, Johor Bahru. Pertukaran nama ini selaras saranan kerajaan mengutamakan Bahasa Malaysia pada ketika itu.Walaubagaimanapun, perubahan struktur pentadbiran dilakukan dan pada 1961 Penguasa Perubatan sepenuh masa telah dilantik. Jawatan dikendalikan sepenuh masa dengan cara perlantikan. Ini bagi memastikan tumpuan dapat diberikan sepenuh masa terhadap pembangunan hospital dan tidak mempunyai tugas sampingan yang secara tidak langsung boleh mengganggu tugas pentadbiran hospital.Penguasa Perubatan sepenuh masa pertama adalah Dr. H.K. Ray, dibantu Dr. Sheikh Raihan Bin Hamzah selaku Timbalan Penguasa serta Encik Omar Bin Ismail sebagai Setiausaha dengan dibantu oleh 8 orang kerani yang membantu pentadbiran hospital. Bahagian yang diwujudkan adalah Bahagian Kewangan (mengurus hal ehwal kewangan), Bahagian Dokumen (menguruskan segala bentuk dokumen pesakit, surat akuan dll), Bahagian Perkhidmatan Utama serta Pengurusan Gaji kakitangan hospital dan bahagian yang menyediakan laporan perubatan pesakit.

 

PERTUKARAN NAMA HOSPITAL RUMAH SAKIT UMUM, JOHOR BAHRU KEPADA HOSPITAL BESAR JOHOR BAHRU

Pada tahun 1970, sekali lagi nama hospital ditukar kepada Hospital Besar. Nama hospital ini diilhamkan oleh Tun Sardon Jubir yang merupakan Menteri Kesihatan Malaysia ketika itu.Pada tahun 1981, Timbalan Penguasa Perubatan sepenuh masa dilantik. Dr. Sandhu Singh telah dilantik sebagai Timbalan Penguasa Perubatan yang pertama. Beliau bekerjasama membantu Dr. Gurmit Singh selaku Penguasa Perubatan.Pada masa perang dunia kedua, kebanyakan pesakit yang dirawat di Hospital Besar, Johor Bahru adalah anggota tentera dan orang awam yang tercedera. Apabila keadaan peperangan bertambah buruk dan jumlah kemalangan meningkat, hospital ini telah dijadikan hospital tentera. Hospital awam telah dipindahkan ke Hospital Sakit Otak di Tampoi pada awal tahun 1942. Tidak lama selepas itu, Hospital Sakit Otak juga telah diambil alih oleh tentera Jepun bagi menempatkan anggotanya, Hospital Awam juga telah dipindahkan ke "Labour Lines" Tebrau Estate. Oleh kerana Labour Lines ini mendatangkan pelbagai masalah. Hospital Awam kemudiannya dipindahkan ke sebuah bangunan kecil di kaki Bukit Timbalan.

PERTUKARAN NAMA HOSPITAL BESAR JOHOR BAHRU KEPADA HOSPITAL SULTANAH AMINAH, JOHOR BAHRU

Pada tahun 1984, sekali lagi nama hospital ini ditukar kepada Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dengan mengambil sempena nama bonda DYMM Sultan Johor ketika itu. Dengan pertukaran nama berkenaan, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru mempunyai 2,000 orang kakitangan yang terdiri pelbagai kategori jawatan. Bagi mengendalikan rawatan pesakit, hospital ini mempunyai 21 orang pakar dari pelbagai disiplin, 114 orang pegawai perubatan, 45 orang doktor siswazah dan 800 orang kakitangan paremedik.

PERKHIDMATAN YANG DISEDIAKAN

Hospital ini juga memberi perkhidmatan kepakaran dari segi Perubatan, Pembedahan, Ortopedik, Oftalmologi, Neurosurgeri dan sebagainya. Bagi perkhidmatan rawatan neurosurgeri HSAJB telah menjadi hospital rujukan bagi kawasan selatan semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

PEMBENTUKAN JABATAN

Bagi memberi perkhidmatan yang lebih berkesan selaras dengan program perawatan pesakit, hospital ini mempunyai pelbagai jabatan, diantaranya bahagian pentadbiran yang mengandungi pejabat pentadbiran am, pejabat perkhidmatan serta pejabat kewangan dan hasil. Perkembangan ini jauh berbeza dengan tahun 1960 an.

UNIT KECEMASAN KETIKA ITU

Jabatan Kemalangan dan Kecemasan pada masa dahulu terletak di Tingkat Bawah Bangunan Induk tetapi dipindahkan ke sebuah bangunan lama yang letaknya lebih kurang 300 meter dari bangunan induk pada tahun 1974. Di bangunan ini juga terletaknya Jabatan Pesakit Luar. Bangunan lama ini tidak sesuai lagi kerana telah terlalu usang dan jauh dari bangunan induk. Bangunan ini juga tidak mencukupi bagi memberikan perkhidmatan yang selesa kepada pesakit. Oleh yang demikian, sebagai langkah "interim" untuk memperbaiki perkhidmatan di bahagian ini, sebuah Jabatan Kemalangan dan kecemasan telah dibina di tingkat bawah kompleks Dewan Bedah Baru. Ianya telah mula digunakan pada 27hb. Mei 1985. Tempat ini akan terus digunakan sehinggalah cadangan Projek Poliklinik di Jalan Dato' Wilson yang mempunyai sebuah Jabatan Kemalangan dan  kecemasan yang baru dan lengkap dilaksanakan.   Dengan tujuan memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan selaras dengan program perawatan pesakit, hospital ini telah mempunyai pelbagai jabatan. Jabatan pesakit luar merupakan jabatan yang terpenting di hospital ini dengan menyediakan rawatan kecemasan dan susulan kepada masyarakat yang memerlukannya. Sehubungan itu, bagi menampung keperluan, bangunan poliklinik telah siap dibina pada tahun 1991 untuk memberikan perkhidmatan yang lebih sempurna dan selesa kepada pesakit. Poliklinik tersebut mula dibina pada tahun 1988 dengan kos RM 18,050,000. Jumlah tersebut tidak termasuk kos kelengkapan yang berjumlah RM3,000,000

JABATAN FISOTERAPI

Ia merupakan sebuah jabatan yang penting dan hanya terdapat dua buah jabatan ini di Negeri Johor sekitar tahun 1975 iaitu di Hospital Besar Johor Bahru dan Hospital Daerah Muar. Ia bertambah menjadi tiga pada tahun 1980 di Hospital Batu Pahat. Jabatan fisioterapi Hospital Besar Johor Bahru ketika itu terletak di salah satu sayap bangunan induk hospital. Pada peringkat awal, ia terletak di tingkat lima tetapi ditukar ke tingkat dua dan telah dipindahkan ke bangunan poliklinik selepas bangunan poliklinik siap sepenuhnya.

JABATAN FARMASI

Ia merupakan jabatan yang penting terutama dari segi penyediaan ubat. Jabatan ini mengandungi sebuah dispensari, stor penyimpanan ubat serta tempat membancuh ubat. Jabatan ini menghasilkan sebahagian daripada bekalan ubat untuk Negeri Johor. Pelbagai jenis ubat telah dihasilkan oleh jabatan ini merangkumi ubat sapu, ubat mata dan telinga serta ubat suntikan. Ia berfungsi membekalkan ubat di wad hospital, tempat mengambil ubat dan jabatan lain. Selain itu juga bekalan keperluan yang berkaitan dengan ubat-ubatan seperti alat membersihkan luka dibekalkan untuk kemudahan rawatan disamping menjalankan tugasan iaitu memberikan maklumat tentang penyalahgunaan dadah.

JABATAN REKOD

Ia memainkan peranan ke arah melahirkan perkhidmatan yang lancar. Jabatan ini hanya terdapat di Hospital Besar Johor Bahru sahaja dengan mempunyai rekod yang kemas. Ia bertanggjungjawab terhadap mengisi, menimpan dan mencari rekod perubatan pesakit, mengendalikan penyusunan fail pesakit dalam dan luar serta berbagai jabatan yang lain. Rekod tersebut perlu penjagaan yang rapi bagi menyelesaikan kes yang berkaitan dengan perundangan, polis, tuntutan insuran, pampasan dan tuntutan PERKESO.   

OCCUPATIONAL THERAPY DEPATMENT ( O.T.D )

Ia merupakan sebuah jabatan yang memberikan rawatan secara asuhan kepada pesakit dan ia hanya terdapat di Hospital Besar Johor Bahru. Jabatan ini memberikan perkhidmatan kepada pesakit yang memerlukan pemulihan selepas menjalani pembedahan serta pengidap penyakit yang teruk seperti kusta dan batuk kering. Pakar yang bertugas juga akan pergi ke hospital batuk kering dan kusta di Tampoi untuk memberikan pemulihan kepada pesakit di sana. Pakar yang mengendalikan jabatan ini bertanggungjawab terhadap proses rawatan klinikal dan hal ehwal pentadbiran dan jabatan ini memainkan peranan yang penting di dalam proses memulihkan keyakinan pesakit.

JABATAN MAKANAN

Jabatan ini bertanggungjawab menyediakan menu serta mengekalkan kualiti makanan yang diberikan kepada pesakit. Pada tahun 1992, jabatan baru telah siap dibina berhampiran wad pesakit dengan kos pembinaan sebanyak RM 1,278,754 tidak termasuk kemudahan peralatan dan kelengkapan berjumlah RM 200,000. Kini jabatan berkenaan dikenali sebagai Jabatan Dietetik dan Sajian.

BAHAGIAN LATIHAN JURURAWAT

Pada 27 Februari 1936, ’Skim Latihan Jururawat’ telah dilaksanakan di General Hospital Johor Bahru. Pada peringkat awal, seramai sembilan orang menjalani latihan di hospital ini. Sebuah sekolah latihan jururawat serta asrama telah mula dibina pada 1938. Ia terletak di atas sebuah bukit dan menghadap ke Selat Tebrau. Tenaga Pengajar juga ketua jururawat ( Matron ) pertama telah dilantik adalah Cik J.D Scott. Pelbagai latihan diberikan termasuk latihan dibidang perbidanan sehinggalah sebuah sekolah latihan perbidanan ditubuhkan pada tahun 1951. Ia bertujuan memberi latihan kepada jururawat yang sedang menjalankan tugas. Sekolah ini dikenali sebagai ‘Domicilary Midwifery Training Centre’ ( D.M.T.C ). Ia terletak di bangunan wad bersalin kelas tiga yang terletak berhampiran ‘Mess Ketua Jururawat’ dan diubah suai untuk menampung jumlah pelatih yang bertambah setiap tahun. Sekolah latihan yang baru ini telah dirasmikan oleh YB. Encik Bahaman Bin Samsudin, Menteri Kesihatan Malaysia pada 15 September 1964. Ia dilengkapi dengan peralatan moden, alat bantuan mengajar serta dewan syarahan dan pelbagai kemudahan lain.Pada 1965, sebuah lagi asrama telah dibina berhampiran dengan sekolah latihan yang baru dan digunakan untuk menempatkan Pelatih Jururawat. Asrama ini telah dirasmikan pembukaan oleh YB. Encik Bahaman Bin Samsudin pada 15 September 1965.   Pada tahun 1967, sebuah asrama setinggi lima tingkat dan mempunyai 72 bilik telah dibina. Bangunan asrama ini terletak di bangunan sebuah bukit berhampiran dengan asrama jururawat 1. Ia juga telah dirasmikan oleh YB. Encik Bahaman Bin Samsudin pada 19 Julai 1967 dan dikenali sebagai Asrama Jururawat 2.Pada tahun 1970 an, sebuah lagi asrama dibina dan dikenali Asrama Jururawat 3 yang dirasmikan oleh YB. Tan sri Lee Siok Yew, Menteri Keishatan Malaysia pada 28 September 1972.Walabagaimanapun, Bahagian Latihan Jururawat ini mengendalikan kursus kejurawatan selama tiga tahun dan jururawat pelatih boleh menyambung latihan di peringkat perbidanan selama satu tahun. Dengan adanya latihan yang diberikan kepada jururawat, secara tidak langsung dapat meningkatkan imej hospital dengan perkhidmatan yang berkualiti melalui latihan yang sistematik serta pengenalan kepada perlatan yang semakin moden.   DITEMPATKAN POST GRADUATE MEDICAL CENTRE ( PGMC ) DITINGKAT BAWAH BANGUNAN PUSAT BERSALIN. 

POST GRADUATE MEDICAL CENTRE ATAU PGMC

 

Post Graduate Medical Centre atau "PGMC" telah ditubuhkan pada tahun 1968 hasil inisiatif YB. Dato Lim Kee Jin - Pakar Perunding Perubatan Kanan ketika itu memangku Penguasa Perubatan. Letaknya ditingkat 6 bangunan Induk di mana pegawai-pegawai perubatan diberi latihan "Post Basic". Tempat ini juga dijadikan sebagai dewan syarahan, mesyuarat, perbincangan serta kursus. Pusat ini ditadbir oleh sebuah Jawatankuasa yang dianggotai oleh Penguasa Perubatan, Pakar-pakar dan juga Pegawai Perubatan serta pegawai yang menyelia perpustakaan. Pusat ini juga dilengkapi dengan pelbagai peralatan seperti bahan-bahan rujukan, buku serta majalah perubatan termasuk alat-alat pandang dengar.

 

JABATAN-JABATAN LAIN 

Begitu juga dengan jabatan lain di tubuhkan seperti Jabatan x-Ray serta Bank Darah yang pada asalnya lokasi kawasan serta keadaan jabatan tidak begitu memuaskan serta terletak diluar bangunan utama. Begitu juga dengan jabatan yang memberikan rawatan kepada pesakit terletak di merata tempat dan wad kelas pertama terletak di atas bukit serta terpisah dari tempat operasi di bangunan utama. Dengan bantuan dari Jabatan Perubatan dan Kesihatan yang juga dikenali sebagai Pejabat Perubatan dan Kesihatan Negeri Johor yang asalnya terletak di Hospital Besar Johor Bahru sebelum berpindah di tingkat 4, Blok B, Wisma Persekutuan, Jalan Ayer Molek, Johor Bahru pada 1 Jun 1979. Hospital ini telah melakukan penambahbaikan dan perubahan pada setiap tahun.Selain itu juga, Hospital Sultanah Aminah, Johor mempunyai 11 bidang kepakaran yang telah diisi oleh pakar yang berkelayakan. Diantara bidang kepakaran yang terdapat di hospital ini adalah Perubatan Umum (General Medicine), Pembedahan (General Surgery), Perbidanan dan Sakit Puan (Obstetrics & Gynaecology), Kanak-Kanak (Paediatrics), Bius (Annesthetics), Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Kaji Penyakit (Pathology), X-Ray (Radiology), Mata (Opthalmology), Jiwa (Psychiatry) dan Ortopaedics.

 

PERKEMBANGAN KINI HOSPITAL

Kini, hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru memberikan perkhidmatan pelbagai kepakaran yang merangkumi pengurusan, perkhidmatan klinikal, sokongan klinikal dan bukan sokongan klinikal serta dijadikan sebagai hospital rujukan bagi Negeri Johor dengan menyediakan 21 perkhidmatan klinikal, 9 perkhidmatan sokongan klinikal dan 5 perkhidmatan sokongan bukan klinikal dan 7 unit di bawah Pengurusan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru juga menjadi Pusat Rawatan Koronari dan Pembedahan Jantung bagi Wilayah Selatan termasuk Sabah dan Sarawak. Bilangan katil rasmi yang disediakan sehingga tahun 2010 adalah sebanyak 989 buah bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat di Negeri ini.Dalam masa yang sama juga, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru juga turut membantu negara dari segi pengeluaran dan peningkatan mutu tenaga kerja klinikal seperti Kejururawatan, Farmasi, Juru x-Ray dan Juru Teknologi Makmal Perubatan bagi pengajian dalam bidang Diploma serta Pegawai Farmasi dan Pegawai Perubatan. Ini dilaksanakan melalui kerjasama dengan pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam mahupun Swasta dalam memberi latihan praktikal kepada para pelatih Pra-Ijazah yang ditempatkan di sini. Latihan lanjutan klinikal turut diadakan bagi meningkatkan kepakaran Pegawai dan Pakar Perubatan dari Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan juga hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia yang lain.

KEGIATAN SUKAN & PERTUBUHAN

Pada awal tahun 1990'an, ura-ura menubuhkan Kelab Sukan tetapi telah ditangguhkan kerana kemelesetan ekonomi disebabkan harga getah turun. Pada tahun 1922 - kawasan paya berhampiran dengan "Dressers Quarters" dimulakan dan kawasan berhampiran kediaman P.M.O di Jalan Dato' Wilson telah ditambak untuk dijadikan padang bola dan gelanggang tenis. 

 

Pada 22 Mei 1922 -Kelab Sukan Perubatan Besar telah ditubuhkan dengan penubuhan sebuah pasukan bolasepak dan telah bertanding di dalam liga bolasepak Johor. Pada penghujung tahun 1922 - satu pertandingan tennis juga telah diadakan di gelanggang tennis ini. 

 

Pada tahun 1980 - kegiatan Kelab Sukan diperluaskan dan melibatkan semua kakitangan seluruh Daerah Johor Bahru termasuk kakitangan Pejabat Pengarah Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan, Pergigian dan Anti-Malaria. Pada 31 Julai 1980 , Kelab Sukan ini telah didaftarkan dengan No. Pendaftaran 1194. Pengetua Kelab Sukan ketika itu yang juga Penguasa Perubatan ialah Dr. Gurbaksh Singh.Kini, Kelab Sukan berkenaan bertukar wajar dengan nama Kelab Sukan & Kebajikan Perubatan, Pergigian & Kesihatan Daerah Johor Bahru yang dinaungi kini Dr. Hj. Daud Bin Hj. Abdul Rahim selaku Pengarah Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan bagi menyemarakkan lagi penglibatan anggota hospital dalam aktiviti pertubuhan badan dan kemasyarakat, Badan Kebajikan Islam Hospital juga ditubuhkan yang diPengerusikan oleh Dr. Izam Bin Sulaiman, Timbalan Pengarah Hospital.........................            

 

SENARAI NAMA PENGUASA PERUBATAN HOSPITAL SULTANAH AMINAH, JOHOR BAHRU

Bil

NAMA PENGUASA PERUBATAN

TAHUN BERKHIDMAT

1

Dr. H. K Ray

Dari 1961 - 1965

2

Dr. Sheikh Raihan

01 Mac 1965 - 1966

3

Dr. Hooi See Choon

20 Ogos 1966 - 01 Julai 1967

4

Dato’ (Dr.) Lim Kee Jin (memangku)

02 Mei 1967 - 10 Mac 1968

5

Dr. V.V. Narayanan

11 Mac 1968 - 16 Julai 1969

6

Dato' (Dr.) Lim Kee Jin (memangku)

17 Julai 1969 - 14 Disember 1977

7

Dr. J.S. Bhattal

15 Disember 1970 - 15 Februari 1972

8

Dato' (Dr.) Lim Kee Jin (memangku)

16 Februari 1972 - 15 Februari 1974

9

Dr. K. Kuhan

16 Februari 1974 - 10 Julai 1975

10

Dato' (Dr.) Lim Kee Jin

11 Julai 1975 - 14 Disember 1975

11

Dr. Gurbaksh Singh

15 Disember 1975 - 30 November 1981

12

Dr. Gurmit Singh

01 Disember 1981 - 31 Julai 1984

13

Dr. Sadhu Singh

Dari Ogos 1984 - Disember 1988

14

Dr. Hjh. Nor’Aini Binti Abu Bakar

Dari Disember 1988 - Ogos 1992

15

Dr. Rosnah Hadis

Dari September 1992 - Februari 1994

16

Dr. G. Vyveganathan

Dari Februari 1994 - 30 Jun 1995

17

Dr. Lim Chie Kean

01 Julai 1995 - hingga 1997

   

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

SENARAI NAMA TIMBALAN PENGUASA PERUBATANHOSPITAL SULTANAH AMINAH,

JOHOR BAHRU

Bil

TIMBALAN PENGUASA

TARIKH BERKHIDMAT

1

Dr. Sadhu Singh

Dari Disember 1981 - Julai 1984

2

Dr. Elizabeth George

Dari Ogos 1991 - Disember 1990

3

Dr. Mondzi Basir ( memangku)

Dari Januari 1991 - Februari 1991

4

Dr. Muhamad Hanafiah Juni

Dari Februari 1991 - April 1993

5

Dr. M.A. Kadar Marikar

Dari Mei 1993 - 15 Januari 1996

6

Dr. Hj. Arbain Bin Lani

16 Januari 1996 - 1996

7

Dr. Lau Meo Ngo ( memangku )

Dari 1996 - 02 Jun 1997

8

Dr. Mondzi Basir

16 Jun 1997 - 15 Jun 2005

9

Dr. Rooshaimi Merican Binti A. Rahim Merican

16 Jun 2005 - 02 Januari 2006

7

Dr. Izam Bin Sulaiman

01 Disember 2005 - sekarang

 

SENARAI NAMA PENGARAH HOSPITALHOSPITAL SULTANAH AMINAH, JOHOR BAHRU

Bil

PENGARAH HOPITAL

TARIKH BERKHIDMAT

1

Dr. Lau Meo Ngo ( memangku )

Dari 1997 Hingga 15 Mei 1997

2

Dr. Samsiah Binti Mohd. Yusof

16 Mei 1997 - 17 Julai 1999

3

Dr. V. Sadandan A/L Veluthambu

17 Julai 1999 - 15 Mac 2004

4

Dr. Mondzi Basir ( menanggung )

14 Mac 2004 - 15 Jun 2005

5

Dr. Rooshaimi Merican Binti A. Rahim Merican

15 Jun 2005 - 30 Disember 2007

6

Dr. Hj. Daud Bin Hj. Abdul Rahim

01 Januari 2008 - sekarang

 

 

 

Recommend this page to a friend! Prepare to print